• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Kerajaan Fokus Dakwah di Kawasan Pedalaman, Pulau

BESUT, 29 Ogos - Kerajaan tidak meminggirkan rakyat di kawasan pedalaman dan pulau dalam semua bidang termasuk segmen dakwah. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya selama ini menjadikan agenda dakwah itu sebagai suatu keutamaan dalam membangunkan masyarakat di negeri ini untuk menghayati ajaran Islam yang syumul.

Selain itu katanya, tumpuan yang diberikan ke kawasan pedalaman dan pulau-pulau juga adalah untuk memastikan aktiviti dakwah di lokasi terbabit berkembang.

"Antara tujuan kita gerakkan kerja dakwah ini bertemu dan berjumpa dan mendampingi penduduk-penduduk di pulau ini untuk mengingatkan mereka akan memakmurkan rumah Allah dan menghidupkan (masjid), supaya mereka berminat untuk menghadiri majlis ilmu dan ambil cakna tentang agama itu sendiri.

"Melalui 'street dakwah' yang dijadikan antara pengisian program pada hari ini juga untuk bersatu dalam penyatuan ummah dari pelbagai lapisan masyarakat kita satukan pada hari ini.

"Di samping itu juga tujuan kita adalah untuk memperkukuhkan maklumat mereka mengenai pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan pada hari ini melalui aktiviti 'Chit Chat' (sembang santai) pada malam ini, dengan melalui program yang telah disusun ini kita dapat turun terus ke kampung untuk memberi ruang kepada masyarakat untuk bertanya apa sahaja yang berkait dengan agenda serta perancangan kerajaan,"ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika hadir pada Program Jelajah Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT), di sini, kelmarin.

Katanya, melalui program berkenaan juga menjadi platform bagi menyampaikan mesej kerajaan negeri selama ini dalam menjaga kepentingan rakyat.

"Pada program ini juga kita telah menghimpukan 40 orang ustaz-ustaz kita untuk turun menyantuni komuniti dan program seumpama ini akan terus dilakukan dimana selepas ini tumpuan kita akan beralih pula ke kawasan yang berada jauh di pedalaman, kemaman.

"Selama ini kita melihat di kawasan bandar telah menunjukkan perkembangan yang baik dengan meningkatnya majlis ilmu, jadi bagi memastikan ia seiring maka kita fokuskan juga di kawasan pedalaman,"ujarnya lagi.