• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kerajaan Galak Pelihara Kelulut Setiap Rumah

Dr Haji Alias (kiri) diiringi Encik Fadzli Rahimi  meninjau kawasan pemeliharaan  kelulut di Mardi Terengganu.
KUALA NERUS - Kerajaan negeri menggalakkan penduduk seluruh Terengganu, mengadakan satu sarang kelulut di setiap rumah, mulai tahun depan yang bertujuan untuk menambah pendapatan dan mewujudkan persekitaran kediaman lebih kondusif.
 
Serentak itu, satu bengkel pemeliharaan kelulut untuk menghasilkan madu buat julung-julung kali diadakan oleh Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (Mardi) di Bilik Seminar Mardi Kuala Terengganu di sini, dengan kerjasama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal.
 
Dr Haji Alias menikmati madu kelulut di Mardi Terengganu. 
Kira-kira 50 orang peserta daripada 25 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di DUN tersebut hadir menyertai bengkel berkenaan.
 
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Haji Alias Razak berkata, bermula dari DUN Bukit Tunggal, bengkel berkenaan boleh dikembangkan ke 31 DUN lain kerana potensi menghasilkan madu dari pemeliharaan ternakan tersebut amat besar.
 
Menurutnya, setiap sarang kelulut berukuran satu kaki persegi dan tiga inci tinggi dengan kos RM400, boleh menghasilkan sebanyak kira-kira 500 milimeter madu dengan nilaian lebih RM100.
 
"Jika 10 sarang dijaga dengan baik, ia boleh menghasilkan 5 liter madu kelulut dengan purata pendapatan RM750 sebulan," katanya ketika berucap merasmikan bengkel berkenaan di Bilik Seminar Mardi Kuala Terengganu di Kubang jela, (15 Oktober).
 
Paling penting katanya, dengan adanya usaha pemeliharaan kelulut itu, kawasan rumah terjaga kebersihan dan keindahannya.
 
Menurut beliau, untuk memelihara kelulut, sekitar kawasan kediaman mesti ditanam dengan pokok bunga dan tidak dilakukan pembakaran terbuka.
 
"Ini kerana kelulut lemas dengan asap dan akan lari dari sarang masing-masing sekiranya berlaku pembakaran terbuka di sekitar kawasan pemeliharaan ternakan tersebut.
 
"Jadi, dengan pemeliharaan kelulut di halaman rumah, alam sekitar tidak tercemar, kebersihan dan keindahan halaman kediaman dapat dijaga dengan baik," ujarnya.
 
Turut hadir berucap di majlis tersebut, Pengarah Mardi Terengganu, Encik Fadzli Rahimi Ismail.
 
Sementara itu, Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, turut melawat kawasan ternakan kelulut di sekitar pejabat Mardi itu dan dihidangkan dengan minuman madu kelulut selepas selesai majlis perasmian.
 

Tag: