• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Iktiraf Wakil ADUN Belia - Speaker DUN

KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Kerajaan mengiktiraf wakil Ahli Undangan Dun Negeri (ADUN) Belia bagi mengangkat idea serta membawa cadangan untuk kebaikan golongan anak muda di Terengganu.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Yahaya Ali berkata, program ADUN Belia turut memberi pendedahan kepada peserta berkenaan hal ehwal pentadbiran sebuah negeri mengikut laras undang-undang.

“Pemilihan ini (ADUN Belia) merupakan salah satu usaha kerajaan mencari benih baru bagi mempersiap lapisan golongan baru yang akan mentadbir negeri kelak.

“Platform ini diharap akan memberi tanggungjawab yang besar dalam membina negeri sebagai pemegang taruh buat manfaat masyarakat," tambahnya dalam ucapan perasmian kem induksi ADUN Belia baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Urus Setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak.

Seramai 33 anak muda mewakili setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu sesi 2021-2023 termasuk seorang ADUN wanita dipilih selepas menamatkan Kem Induksi ADUN Belia Siri 2 di Hotel Paya Bunga, baru-baru ini. 

Barisan wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia ini telah melalui beberapa siri pemilihan iaitu ujian bertulis, kem teori serta kem induksi secara tapisan yang bermula sejak akhir tahun 2021. 

Wakil ADUN Belia dijadualkan akan memulakan sidang perbahasan sejurus tamat persidangan DUN yang dijadualkan pada akhir Mac ini.

 


Tag: