• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Dijangka 1.5 Juta Pelancong Ke Terengganu

KUALA TERENGGANU, 11 Oktober - Kerajaan negeri menjangkakan 1.5 juta pelancong akan berkunjung ke Terengganu sehingga akhir tahun ini susulan kebenaran pergerakan rentas negeri bermula semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, perkembangan berkenaan akan kembali menyemarakkan sektor pelancongan negeri yang selama ini terjejas  akibat pandemik.

Sekali gus katanya, ia akan berupaya memulihkannya serta meningkatkan kembali ekonomi.

"Kita jangka tempahan menginap di hotel, inap desa dan hostel akan dipenuhi pengunjung terutamanya di Kuala Terengganu. 

"Sebagaimana tahun sebelum ini penginapan di Kuala Berang turut mendapat permintaan yang tinggi disebabkan kehadiran berpusu-pusu pelancong masuk ke negeri ini.

"Terdiri daripada pelancong dalam negeri juga luar dari negeri ini, dalam masa terdekat kita juga akan menerima kedatangan warga asing ke negeri ini sebagaimana diisytiharkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di mana akan bermula dengan Pulau Langkawi, harapnya dalam waktu terdekat, kita juga akan dibenarkan menerima kehadiran pelancong dari luar negara," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong Royong Mengindahkan Produk Pelancongan Berasaskan Komuniti Daerah (CBT) di Kalang Warisan, di sini, pada hari ini.

Mengulas mengenai kehadiran warga asing katanya, pada kebiasaan pulau-pulau menjadi destinasi pilihan percutian mereka, namun Majlis Keselamatan Negeri (MKN) tidak membenarkannya lagi buat masa ini.

"Jadi pihak kerajaan sedang berusaha untuk memancing mereka datang ke 'mainland' dahulu sebab itulah dibangunkan produk-produk pelancongan berasaskan komuniti sebagaimana Kalang Warisan ini yang telah dinaikkan taraf bukan hanya bersifat 'lokal' semata-mata," katanya.

Tambah Ariffin, kebanyakan rakyat pada waktu ini teruja untuk melancong ke negeri ini sebagai destinasi pilihan yang menggembirakan bersama keluarga.

"Walaupun musim tengkujuh makin hampir, namun beberapa tempat masih dibuka untuk dilakukan pelbagai aktiviti terutamanya di Tasik Kenyir yang terletak di Hulu Terengganu.

"Bermula hujung minggu ini kita akan dapat lihat kehadiran mereka dari negeri lain atau anak Terengganu yang berada di perantauan pastinya akan pulang dan akan pergi ke tempat-tempat menarik yang ada dalam negeri untuk bercuti bersama keluarga,"ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ariffin berharap agar Prosedur Operasi Standard (SOP) tetap diamalkan sebagai langkah sentiasa berwaspada bagi mengelak jangkitan Covid-19.

 


Tag: