• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Komited Bantu Usahawan Tani

Wan Hapandi ( dua dari kanan ) ketika melakukan lawatan di Pejabat Pertanian Hulu Paka.
Kerajaan negeri komited dalam membantu usahawan tani dan berusaha menjadikan pertanian sebagai suatu bidang yang menguntungkan setanding dengan bidang-bidang lain.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Wan Hapandi Wan Nik berkata, pertanian adalah satu bidang yang dapat memberikan pendapatan bulanan yang besar kepada pengusahanya.

Menurutnya, masih ramai yang tidak sedar akan perkara ini kerana bidang pertanian dianggap sebagai pekerjaan yang susah dan mengotorkan.

"Kebanyakannya tidak sedar bahawa bidang pertanian merupakan satu bidang yang cukup menguntungkan sekiranya dilakukan dengan cara yang betul.

"Hanya segelintir golongan muda sahaja yang berminat dengan bidang ini manakala selebihnya lebih rela bekerja makan gaji daripada menceburi bidang ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan dan menghadiri  jamuan buah-buahan tempatan di Pejabat Pertanian Hulu Paka, tengahari tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan Pegawai Daerah Dungun, Ibrahim Mohamad.

Wan Hapandi ( empat dari kiri ) menikmati buah - buahan tempatan dalam lawatan tersebut.
Sementara itu, Wan Hapandi Wan Nik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura berkata, kerajaan negeri sedia membantu mana-mana golongan muda yang ingin menceburi bidang pertanian.

"Kerajaan negeri mempunyai peruntukan yang akan disalurkan kepada sesiapa yang ingin menceburi bidang pertanian.

"Pelbagai agensi akan turut membantu memberikan khidmat nasihat sehingga projek yang diusahakan mereka berjaya," katanya.

Menurutnya, pihak-pihak seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan beberapa agensi berkaitan mempunyai kepakaran masing-masing dalam membantu usahawan tani termasuk teknologi tanaman dan pemasaran hasil tanaman.

"Kita komited terhadap janji-janji di dalam manifesto pilihan raya lalu untuk membantu usahawan tani yang ada di negeri ini supaya berjaya dalam bidang yang diusahakan mereka," katanya.

Wan Hapandi berharap supaya lebih ramai lagi golongan muda menceburi bidang pertanian supaya kebergantungan tehadap pengimportan hasil tanaman dari negara luar dapat dikurangkan.

Tag: