• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kerajaan Komited Perkasa Pertubuhan Belia

KUALA TERENGGANU, 30 November – Kerajaan Negeri menyatakan komitmen dalam memperkasa pertubuhan atau organisasi belia Terengganu di semua peringkat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia dapat dibuktikan melalui peruntukan bantuan pengurusan konsisten yang disdiakan kepada pertubuhan belia.

“Pada tahun ini, sebanyak RM1 juta diperuntukkan kepada pertubuhan belia selaim peruntukan bagi program-program sampingan lain seperti bengkel dan kursus pemantapan organisasi.

“Kementerian Belia dan Sukan Malaysia melalui Majlis Belia Malaysia juga sedang menyalurkan dana pentadbiran kepada Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM327 ribu,” katanya. 

Beliau berkata demikian melalui jawapan bertulis kepada soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga turut bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu dengan mengadakan program seperti Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) dan Kem Anak Muda (KAMU).

Terdahulu bagi Belanjawan 2023, kerajaan turut menambahkan peruntukan sehingga RM1.38 juta  bagi bantuan badan belia, Sambutan Hari Belia dan Anugerah Belia.


Tag: