• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Agih Bantuan Kepada Penternak Terjejas

HULU TERENGGANU, 3 November – Kerajaan Negeri mengagihkan bantuan kepada penternak akuakultur yang terjejas akibat bencana alam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sektor pertanian dan penternakan di negeri ini mengalami kerugian sebanyak RM12 juta akibat pelbagai bencana terutamanya banjir.

Katanya, banjir besar berlaku akhir Februari lalu meninggalkan kesan teruk terhadap pertanian dan penternakan di negeri ini.

“Oleh itu, kerajaan negeri telah berusaha membantu golongan yang terjejas itu melalui Tabung Bantuan Bencana Negeri Terengganu.

“Pemberian bantuan tersebut bertujuan untuk meningkatkan jumlah pendaratan ikan yang didaratkan oleh nelayan darat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Penyerahan Bantuan Bencana Akuakultur dan Insentif Sektor Perikanan Negeri Terengganu bertempat di Projek Kluster Ternakan Ikan Dalam Sangkar, Kampung Getang, Hulu Terengganu semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh

Tambah Dr Azman, bukan sekadar banjir sahaja, petani dan penternak yang terlibat dengan bencana alam seperti ribut, kemarau dan sebagainya juga diberikan bantuan.

Sementara itu, seramai 140 orang nelayan darat di Terengganu menerima bantuan peralatan merangkumi set kelangkapan pusat tangsi, set memancing dan kotak keselamatan.

“Hasrat kita supaya penternak yang ditimpa musibah tidak putus asa untuk terus membekalkan makanan kepada rakyat dan negeri kita,” jelasnya.

 


Tag: