• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Akan Iklan Tanah Kosong Mulai 1 Ogos


Ahmad Razif melepaskan peserta konvoi Jelajah 1 Jiwa BERNAMA di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. Foto Zulkifli C W Putra

Kerajaan negeri menerusi Pejabat Tanah dan Galian (PTG) akan mengiklankan kira-kira 5,900 lot tanah yang kosong di seluruh Terengganu mulai 1 Ogos ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat mingguan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini.

Katanya, orang ramai boleh  merujuk PTG Daerah serta Pusat Khidmat Masyarakat di kawasan masing-masing bagi mendapatkan perincian berkaitan perkara itu.

“Mereka yang  cukup syarat  daripada segi  pendapatan, status perkahwinan serta belum mempunyai tanah sendiri disaran memohon.

“Syarat-syarat lain akan ditentukan pihak pentadbir tanah dan kepada mereka yang pohon, yang layak akan dipanggil menjalani temuduga. Sekiranya lulus, pemohon perlu membina rumah dalam tempoh tiga tahun selepas tempoh permohonan mereka berjaya,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas melepaskan peserta konvoi Jelajah 1 Jiwa BERNAMA di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia,Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat.

Dalam laporan sebelum ini, Kerajaan negeri mengenal pasti kira-kira 5,900 lot tanah di seluruh Terengganu untuk ditawarkan kepada rakyat bagi membina rumah sebagai usaha menangani masalah perumahan.

Pengiklanan tanah-tanah kosong kediaman kepada rakyat negeri ini yang berkelayakan dan tidak memiliki tanah sebelum ini, akan dibuat selewat-lewatnya Ogos ini.



Tag: