• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Alukan Penganjuran Program Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 2 Jun- Kerajaan Negeri Terengganu sedia bekerjasama dengan mana-mana kementerian yang ingin menganjurkan program di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri akan memberikan sepenuh kerjasama untuk menjayakan sebarang program yang memberi manfaat kepada negeri dan rakyat.

"Saya yakin rakyat Terengganu sendiri gembira dengan sebarang penganjuran program yang mendatangkan keuntungan kepada mereka," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia 2022 di Terengganufm, RTM, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia beliau berkata, pelbagai tarikan dirancang untuk pengunjung terutama penglibatan kementerian dan jualan yang menjadi tumpuan pada program ini.

"Ada karnival kerjaya, jualan, dan pada salah satu malam ada Kuala Terengganu Berselawat, jadi kita cuba membuat pengisian jasmani dan rohani dalam memenuhi keperluan hidup bekeluarga," katanya.

Justeru, beliau menyeru rakyat Terengganu untuk hadir beramai-ramai ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang akan berlangsung pada 2 sehingga 4 Jun ini di perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus.