• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Cadang Bina Perumahan Bercampur Di Pulau Perhentian

KUALA TERENGGANU, 15 September - Kerajaan negeri bersedia melaksanakan pembangunan perumahan bercampur secara penswastaan hibrid di Pulau Perhentian.

Pengerusi Jawatankuasa  Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pihaknya kini dalam proses menyediakan kertas kerja permohonan cadangan pembangunan.

"Dua tapak telah dicadangkan iaitu Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil yang memerlukan kerja-kerja pembaikan carun yang menelan kos sebanyak RM21 juta.

"Yang kedua adalah Teluk Dalam, Pulau Perhentian Besar yang merupakan kawasan berhutan tebal dan memerlukan kerja-kerja pembersihan tapak serta terpaksa melalui Arwana Resort untuk ke tapak," ujarnya. 

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman di Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini, semalam.