• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Iktiraf 586 Anak Terengganu Cemerlang Akademik

KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu mengiktiraf serta menghargai kecemerlangan 586 anak Terengganu yang telah berjaya memperolehi keputusan cemerlang di peringkat institusi pengajian tinggi termasuk Sijil Peperiksaan Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia Tahun 2021.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata inisiatif tersebut menunjukkan pendidikan merupakan satu perkara penting di Terengganu malah disambut baik di negeri ini.

“Sehingga kini, kita sedia  maklum  bahawa Terengganu sentiasa  mengungguli pencapaian PT3, SPM, STPM, STAM dan berharap kecemerlangan ini dapat diteruskan buat masa hadapan.

“Besar harapan Kerajaan negeri  untuk melihat anak-anak Terengganu dapat meneruskan momentum kecemerlangan dalam semua bidang yang diceburi selepas pada hari ini kerana anda semua generasi pelapis yang akan mencorak masa depan negeri dan negara kita pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2022 (kali ke 42) & Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM & STAM 2021 dan Anugerah Sarjana Terengganu 2020 & 2021 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini, hari ini.

Pada majlis kali ini, seramai 586 orang pelajar anak Terengganu iaitu enam orang penerima Anugerah Sarjana Terengganu(graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama Dengan Kepujian); empat orang penerima Anugerah Pingat Emas beserta seorang penerima Anugerah Khas.

Sementara itu, dua lagi penerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM dan STAM ;dan seramai 573 orang penerima Hadiah Kecemerlangan Peperiksaan SPM, STPM & STAM.

Dalam masa yang sama, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya sedia melihat keperluan untuk menambah nilai jumlah bantuan dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan ekonomi.