• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Iktiraf, Beri Anugerah Kepada Pengamal Media

KUALA TERENGGANU, 28 November – Kerajaan Terengganu sentiasa mengiktiraf para pengamal media yang telah bertungkus lumus menyokong dan mempromosikan aktiviti, keindahan, kelebihan serta kekuatan yang ada di negeri kepada masyarakat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rakan-rakan media di Terengganu bertanggungjawab dan teliti dalam mencoretkan sesuatu perkara sebelum dihidangkan kepada para pendengar dan penonton.

“Malah, pengamal medialah merupakan 'frontliner' yang berjuang untuk menularkan kebenaran dan menjadi benteng mengekang penularan berita palsu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Apresiasi Media Terengganu, yang bersiaran langsung di TVDI, malam semalam.

Sementara itu, Ahmad Samsuri menyifatkan perubahan dunia kepada media sosial yang lebih kompleks, cepat dan luas capaiannya memberikan kelebihan agar sesuatu berita dan maklumat itu segera tersebar luas kepada masyarakat tidak kira di mana mereka berada.

“Kelebihan ini selalu disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, menyebarkan berita yang tidak benar, maklumat yang palsu dan konspirasi yang tidak bertanggungjawab sehingga menggarap emosi masyarakat terhadap perkara yang tidak sepatutnya.

“Akhirnya, dengan memanipulasikan emosi, maklumat yang salah dan palsu itu mudah diterima dan dipercayai.Lebih teruk, masyarakat menjadikan maklumat yang salah itu sebagai sandaran untuk membuat keputusan dan bertindak,” katanya lagi.

Justeru itu, pengamal media yang berwibawa dan berintegriti dalam menyampaikan maklumat mahupun berita amat diperlukan bagi mengelakkan maklumat salah yang boleh memusnahkan kehidupan seseorang.

Malam Aspresiasi Media Terengganu telah menerima lebih 60 penyertaan dalam Media Perdana dan 56 penyertaan daripada Media Digital membabitkan lima kategori seperti Pelancongan, Kebajikan, Ekonomi, Sukan dan lain-lain lagi.