• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Komited Majukan Taman Eco-Rimba


HULU TERENGGANU, 18 November -Kerajaan Terengganu akan menyalurkan peruntukan yang lebih besar bagi memajukan produk pelancongan berasaskan eko-rimba bagi menaik taraf dan menyelenggara taman berkenaan pada tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Ariffin Deraman berkata, peruntukan ini bagi memulihkan taman eco-rimba supaya lebih menarik, tersusun rapi dan mampu menjadi tarikan lebih ramai pelancong datang ke negeri ini.

Jelasnya lagi, bila penaiktarafan ini dibuat, taman eco-rimba lebih menarik dan pelancong akan datang lebih ramai dan seterusnya mampu menjana sumber kewangan negeri.

"Buat masa sekarang, kita ada memfokuskan enam taman eco-rimba yang merupakan produk pelancongan utama negeri yang dikawal selia oleh Jabatan Perhutanan Negeri berpotensi dengan dibuktikan peningkatan  pelancong di enam kawasan berkenaan.

"Ia termasuk Hutan Lipur Sekayu, Hulu Terengganu; Lata Tembakah dan Belantan, Besut; Air Terjun Chemerong dan Taman Rimba Bukit Bauk, Dungun serta Air Terjun Menderu, Kertih.

"Saya juga telah meminta pihak Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) kemukakan perancangan segera untuk tambahan peruntukan apabila dimaklumkan jumlah yang diterima jabatan untuk mengurus dan menyelenggara setiap taman adalah sekitar RM20,000 setahun dan ia  agak kecil," katanya.

Ariffin Deraman.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas lawatan kerja ke Taman Eko Rimba, Sekayu, Hulu Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Dato'  Ahmad Fadzil Abdul Majid.

Ahmad Fadzil 
Sementara itu, Ahmad Fadzil berkata, jabatannya kini dalam proses menyiapkan Pelan Rancangan Pembangunan Hutan Lipur untuk dibentangkan pada tahun hadapan bagi permohonan tambahan peruntukan.

"Antara kandungannya ialah rancangan pembangunan yang lebih menyeluruh, tersusun dan sistematik bagi melonjakkan pelancongan eko-rimba," ujarnya.


Tag: