• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Komited Maksimakan Potensi Tanah Terbiar

KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Terengganu komited memaksima potensi tanah-tanah terbiar dan tanah kerajaan yang belum dieksploitasi sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa (Task Force) Pemulihan Tanah Terbiar bagi mencari solusi untuk memajukan kira-kira 8,000 hektar tanah terbiar di seluruh negeri pada 6 Mei lalu. 

Katanya, fungsi jawatankuasa berkenaaan antaranya bertujuan mengenal pasti tanah terbiar dan pemilikan di setiap daerah yang melebihi 0.4 hektar dalam satu kawasan.

"Selain mengenalpasti punca dan faktor yang menyumbang kepada tanah-tanah tersebut terbiar tidak diusahakan, jawatankuasa ini juga bertanggungjawab menyediakan pengkalan data dan pelan tindakan tanah terbiar.

“Termasuk mengemukakan cadangan ‘business model’ yang bersesuaian bagi pemulihan tanah terbiar termasuk aspek pemasaran, penyertaan petani tempatan dan pelabur luar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Azman berkata, setakat ini ia sudah berada di peringkat akhir penyedian pengkalan data.

Sementara itu katanya, Pelan Strategik Pertanian Negeri 2019-2023 sedang diterjemahkan di tapak tanah pertanian, laut, kolam, tasik, ladang, kandang dan kilang. 

“Kerja keras di peringkat pentadbiran disokong arahan atasan yang jelas akan membawa sektor pertanian negeri melangkah ke hadapan dengan lebih kemas,” ujarnya.


Tag: