• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Komited Pastikan Khazanah Alam Kekal Terpelihara


KUALA TERENGGANU, 2 Disember - Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ustaz Ariffin Deraman menyifatkan Bajet Terengganu 2019 adalah seimbang dan menyeluruh.

Katanya, dengan peruntukan sebanyak RM2.015 bilion, ianya dilihat bakal memberi inisiatif dan menunjukkan komitmen dan kesungguhan kerajaan negeri dalam memajukan negeri sekaligus menjaga kebajikan rakyat.

“Kerajaan negeri komited dalam memastikan kestabilan terus terpelihara dan berterusan di negeri ini bukan sahaja dalam aspek politik tetapi juga ekonomi dan sosial.

“Malah penekanan kerajaan negeri terhadap kestabilan berterusan adalah untuk memastikan rakyat di seluruh pelusuk negeri ini mendapat manfaat daripada program pembangunan yang dilaksanakan termasuk dalam sektor pelancongan dengan memperuntukkan sebanyak RM48.5 juta untuk membangun industri pelancongan negeri berasaskan kepada tujuh sub sektor,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran menerusi radio Manis FM, hari ini.

Katanya, ianya termasuk Pelancongan Ekologi (Eco Tourism), Pelancongan Tani (Agro Tourism), Pelancongan Islam (Islamic Tourism), Pelancongan Budaya (Culture Tourism), Pelancongan Sukan (Sports Tourism) dan Pelancongan Kesihatan (Health Tourism).

Katanya, langkah tersebut melambangkan usaha dan komitmen kerajaan negeri bagi memastikan kelestarian khazanah alam semula jadi yang perlu dipelihara bagi mengekalkan ekosistem.

“Dengan mengambil kira sebarang pembangunan adalah berkonsepkan keseimbangan lestari tanpa menjejaskan alam sekitar dan memberi manfaat kepada komuniti setempat selain menggamit kedatangan pelancong,” ujarnya.


Tag: