• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Negeri Komited Perkasa Golongan Wanita

KUALA TERENGGANU, 27 Julai – Kerajaan Terengganu sentiasa memartabatkan golongan wanita di negeri ini yang memainkan peranan penting dalam pembangunan keluarga dan masyarakat demi kemajuan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata keprihatinan itu dizahirkan melalui Dasar Wanita Terengganu yang telah dilancarkan pada September 2022. 

Katanya, dasar itu digubal untuk memelihara, melindungi, memperkasa dan membangunkan wanita serta   menjadi panduan dalam memperkasa kaum wanita dengan ilmu dan menjamin hak mereka dilindungi. 

“Ini termasuk Penubuhan Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) yang merupakan salah satu portfolio di bawah saya, menunjukkan kecaknaan kerajaan negeri terhadap wanita Terengganu dalam menggerakkan pengisian-pengisian buat mereka termasuklah program kita pada hari ini.

”Selain itu, kerajaan negeri turut membantu rakyat khususnya wanita dengan memberikan insentif kelahiran, bantuan RM 150 kepada ibu tunggal, dan mengumumkan RM 200 baucar pakej berpantang termasuklah memberi cuti bergaji 30 hari kepada kakitangan kerajaan negeri yang kematian suami dan membuka pusat nurseri di setiap jabatan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Seminar Wanita Inspirasi Terengganu “Wanita Dambaan Syurga” (WINTER 2023) di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, bagi membuktikan kecaknaan kerajaan negeri, seorang ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor  dilantik dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-14 secara tidak langsung dapat membawa suara berkaitan isu-isu wanita dan kekeluargaan sekaligus berkhidmat kepada semua lapisan masyarakat terutamanya wanita. 

Tambahnya lagi, kerajaan negeri  juga tidak menghalang wanita Terengganu untuk berhibur namun perlu mengikut garis panduan dan ini dibuktikan melalui program Alamanda Fun Run, Sukan Untuk Wanita (SUKWA), dan Terengganu Hijab Day (THD).