• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Kerajaan Negeri Komited Perkasa Institusi Pengajian Agama



Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 30 September- Kerajaan negeri komited memperkasa institusi pendidikan agama selari dengan usaha melahirkan modal insan yang mampu menjayakan prinsip negeri Terengganu maju, berkat dan sejahtera.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Kakitangan dan Guru-guru Sekolah-sekolah Dar Negeri Terengganu, Alias Harun berkata, peruntukan sebanyak RM3.875 juta kepada 103 Pondok Tahfiz dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang terdapat di negeri ini merupakan salah satu bukti komitmen kesungguhan kerajaan.

"Tahniah kepada kerajaan negeri yang telah memperuntukkan satu jumlah yang besar untuk pendidikan sekolah - sekolah agama yang selama ini hanya bergerak atas dana sendiri disamping sumbangan orang ramai," ujarnya yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Sekolah Rendah Agama Bersepadu Zainal Abidin (SRABZA).

Sementara itu, Guru Besar SRABZA, Nurzadiha Ibrahim menyambut baik usaha kerajaan itu kerana sebelum ini sekolah Dar bergerak dengan bergantung kepada yuran dan sumbangan orang ramai.

"Kita mengharapkan geran tahunan perkapita daripada kerajaan negeri ini dapat dirasai semua termasuk murid, guru serta kakitangan sokongan sekolah," ujarnya.

Menurut Nurzadiha, sekolah yang ditubuhkan pada 2005 itu mempunyai 229 orang pelajar yang menyediakan 11 kelas, dengan kapasiti 25 orang sekelas menyediakan pendidikan bersepadu dengan 30 orang guru serta kakitangan sokongan.

"Setiap tahun permintaan kemasukan ke sekolah ini meningkat dan  untuk kemasukan tahun satu  2020 , kami terpaksa menutup pendaftaran baru, memandangkan kekurangan tempat,.

“Dengan keprihatinan kerajaan yang tidak meminggirkan pendidikan sekolah-sekolah agama rakyat ini, memberi dorongan kepada kami agar terus berusaha untuk melahirkan pelajar -pelajar yang berakhlak dan berilmu,” ujarnya yang sudah 15 tahun menyumbang tenaga dan buah fikiran di sekolah tersebut.



Tag: