• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Lapor Polis 'Pertanyaan' Ahmad Said

KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Satu laporan polis akan dibuat Kerajaan Terengganu berhubung dakwaan pihaknya mahu menjual ladang sawit milik Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dengan harga RM130 juta kepada pihak tertentu.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tindakan itu diambil selepas mendapat maklumat penuh daripada semua pihak.

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato' Seri Ahmad Said juga dialu-alukan untuk memberi butiran tohmahan terbabit bagi memudahkan siasatan.

"Kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menjual ladang sawit seluas 9,225 ekar di Al-Muktaffi Billah Shah (AMBS), Hulu Paka, Dungun itu.

"Oleh kerana hasrat kerajaan negeri untuk tidak menjual, maka tidak timbul isu melantik mana-mana pihak atau individu untuk menjual bagi pihak kerajaan, kita akan ambil tindak dan buat laporan polis," tegasnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Said dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN), Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, pada hari ini

Terdahulu, Pengerusi UMNO Terengganu itu berkata beliau mendapat maklumat daripada seorang pihak peguam bahawa kerajaan negeri mahu menjual tanah tersebut.


Tag: