• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Mahu Naik Taraf Paip Dasar Laut Ke Pulau Redang

KUALA TERENGGANU, 9 Mei - Kerajaan Terengganu berhasrat menaik taraf paip dasar laut yang menyalurkan bekalan air ke Pulau Redang memandangkan paip sedia ada berusia 25 tahun semakin uzur dan sering mengalami kerosakan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, peruntukan sebanyak RM120 juta diperlukan bagi melaksanakan kerja-kerja penggantian paip dasar laut sepanjang kira-kira 23 kilometer itu.

"Sekarang ini, paip dasar laut itu selalu pecah dan menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air kepada penduduk di pulau peranginan serta sebahagian pengguna di daerah Setiu.

"Setiap kali berlaku kerosakan, kita kehilangan hampir 50 peratus bekalan air bersih malah terpaksa mengeluarkan kos pembaikan yang tinggi sebanyak RM70,000, oleh itu kita sedang berusaha mencari peruntukan RM120 juta sebagai langkah penyelesaian jangka masa panjang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, setiap kali berlaku kes paip pecah di dasar laut, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) terpaksa mengurangkan tekanan bagi mengelak lebih banyak air keluar dan berlaku pembaziran.

"Ini akan menyebabkan pengguna akaun yang tinggal di kawasan penghujung berdepan masalah gangguan bekalan air kerana tekanan sangat rendah. Kes paip pecah semakin kerap berlaku dan terbaharu ialah dua minggu lepas," katanya.

Sebelum ini, Satu terpaksa melakukan agihan bekalan air secara berjadual di beberapa kawasan di empat daerah iaitu Marang, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut untuk memastikan pengguna dapat meraikan Aidilfitri dengan selesa.

Bekalan air ditutup bermula dari 12 tengah malam hingga 4.30 pagi untuk memastikan bekalan air pada waktu siang tidak terjejas sepanjang tempoh perayaan. - Bernama