• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Nafi 39 Varian Delta Dikesan Di Kuala Ibai

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Kerajaan negeri  menafikan mesej yang tersebar di media sosial mendakwa kononnya terdapat 39 pesakit COVID-19 varian Delta dikesan di sekitar kawasan perumahan Kuala Ibai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, dakwaan yang tular menerusi media sosial itu, bukan sahaja tidak benar malah tidak bertanggungjawab.

"Memang kita ada hantar beberapa sampel kepada makmal di Kuala Lumpur dan masih menunggu keputusan 'penjujukan genom' yang dijalankan.

"Ia penting untuk mengenal pasti sama ada masih berlaku jangkitan COVID-19 varian Delta di Terengganu selain dua kes yang dilaporkan sebelum ini. Namun, yang pasti maklumat mengenai 39 pesakit varian Delta itu adalah tidak benar sama sekali.

"Bagaimanapun, masyarakat diminta supaya berhati-hati dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengelakkan apa jua kemungkinan selain memutuskan rantaian penularan Covid-19," katanya ketika dihubungi.

Sejak kelmarin, tular di media sosial termasuk kumpulan WhatsApp yang mendakwa varian Delta sudah merebak di Kuala Terengganu dengan memetik nama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Maklumat yang tular itu mendakwa ujian saringan bersasar Covid-10 akan dilaksanakan terhadap seluruh penduduk Kampung Kuala Ibai dan perumahan Kondo Rakyat malam ini berikutan 39 kes varian delta yang dikesan di lokaliti itu.

Selain menyarankan orang ramai berhati-hati, maklumat itu turut mendakwa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di kedua-dua lokaliti berkenaan.

Berdasarkan situasi terkini Covid-19, dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) hari ini, Terengganu mencatatkan sebanyak 429 kes.