• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Negeri Nilai Keseluruhan Cadangan Bajet 2023

KUALA TERENGGANU, 1 September - Kerajaan negeri akan menilai secara keseluruhan cadangan bajet rakyat Terengganu termasuk yang diutarakan menerusi portal eBajet2023 di pautan http://ebajet.terengganu.gov.my/ .

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelbagai cara disediakan kepada rakyat bagi mengemukakan sebarang cadangan, pendapat mahupun maklumbalas setiap kali sebelum pembentangan bajet berlangsung.

“Dalam proses penyediaan bajet sebelum-sebelum ini dan juga tahun ini, kita membuka cadangan untuk rakyat dalam pelbagai cara.

“Sebelum pandemik COVID-19, cara kita mendapat maklumbalas daripada rakyat adalah menerusi sesi townhall di daerah-daerah terutamanya daripada orang awam, NGO mahupun anggota komuniti.

“Selepas berlaku COVID-19, antara kaedah kita dengan membuka portal dalam talian, web untuk (orang ramai) kemukakan cadangan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Kembara Merdeka Beret Hijau Siri 2/2022 di Dataran Muara Utara, di sini, baru-baru ini.

Mengulas mengenai rungutan sesetengah pihak supaya kerajaan negeri meningkatkan peruntukan bajet dalam bidang pendidikan katanya, beliau tidak menafikan ada menerima cadangan tersebut.

“Memang ada cadangan demikian (naikkan bajet pendidikan), termasuklah cadangan lain dan tentulah kerajaan negeri akan melihat keseluruhan dan nilai, mana yang menjadi keutamaan dahulu, mana yang kemudian,” ujarnya.