• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Negeri Perlu Atasi Kemelut Bekalan Makanan

KUALA TERENGGANU, 29 November – kerajaan negeri melalui agensi atau anak syarikat kerajaan digesa meningkatkan rantaian sumber bekalan makanan kepada rakyat  bagi mengatasi kemelut yang ditimbulkan oleh kapitalis dan korporat secara berkesan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, krisis makanan seperti minyak, telur dan seumpamanya mesti ditangani secara bijaksana oleh kerajaan.

Katanya, ini termasuk penggunaan tanah yang perlu dioptimumkan bagi mengelakkan tanah terbiar yang merugikan. 

“Perancangan ekonomi yang berkesan perlu digerakkan kearah mengurangkan jurang kemiskinan, mencapai gunatenaga penuh dan pertumbuhan ekonomi yang optimum. 

“Kerajaan mesti mengurus dan memandu agar rakyat menggunakannya secara cekap dan optimum. Kesannya kemiskinan boleh di atasi dan ekonomi akan sentiasa berada dalam gunatenaga penuh,"katanya ketika membahaskan Enakmen Perbekalan 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini. 

Tambahnya, rancangan kerajaan negeri untuk pembukaan taman kekal pengeluaran makanan (TKPM) untuk golongan belia merupakan satu usaha yang amat disokong dan patut dilaksanakan segera.

“Bidang pertanian perlu dilihat secara lebih berimpak tinggi. Latih Belia-belia kita yang berminat untuk terlibat dalam industri ini dengan pemudah cara oleh kerajaan dan agensi-agensi yang berkaitan,”ujar beliau.

Justeru itu katanya, kerajaan perlu melihat keperluan bagi menjadikan sektor ini bukan sekadar cukup makan dan sara diri tapi sebagai hub pengeluaran bagi bekalan dalam negeri dan eksport dan kerajaan perlu memastikan inisiatif dan keperluan ini dapat dipenuhi.


 


Tag: