• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Peruntuk RM150 Ribu Agih Jalur Gemilang

MARANG, 29 Ogos - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM150,000 bagi pengagihkan bendera ke seluruh negeri Terengganu menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk dipasang di setiap kampung.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, usaha tersebut dilakukan bagi menyemarakkan suasana kemerdekaan kali ini.

"Situasi pada masa ini menjadikan fokus dan penumpuan setiap orang teralih kepada menguruskan diri dan ekonomi masing-masing. Jadi, harapnya walaupun kita berhadapan dengan pelbagai musibah, kita juga mesti cakna tentang negara kita dan menzahirkan kecintaan kita.

"Sekalipun tiada program-program kemerdekaan di sekolah dan tempat umum, mari kita penuhi dan garap di media sosial agar anak muda menghayati bahawa Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia perlu diingati sebagai rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketiak ditemui pemberita selepas menyempurnakan 'Walkabout' Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu 2021 di Pasar Bukit Payung, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Ahmad Ammar Othman dan wakil Majlis Keselamatan Negera (MKN) Terengganu, Zaidi Ibrahim.

Dalam program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JPM) Terengganu berkenaan, sebanyak 700 bendera diagihkan kepada wakil JPKK Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung, peniaga dan pengunjung pasar yang hadir.

Selain itu, sebanyak 150 bendera turut diagihkan di setiap daerah negeri Terengganu sempena program tersebut, hari ini.

Antara pengisian program itu adalah Hebahan Info On Wheel (IOW) Merdeka dan nyanyian lagu Jalur Gemilang.JPM Terengganu telah melaksanakan 1,653 kali IOW melibatkan khalayak sebanyak 482,300 penduduk meliputi lapan buah daerah dalam Negeri terengganu.

 

 

 

 


Tag: