• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Peruntuk RM2.5 Juta Baiki Paip Rosak

KUALA TERENGGANU, 2 September - Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaik pulih paip dasar sungai Tangki Berangan yang pecah dan patah dalam dua kejadian berasingan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, usaha kini giat dilaksanakan pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) dan dijangka penggantian paip akan dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat seperti dirancang.

“Kita menjangkakan penggantian penyambung paip yang ditempah dari Australia dan Itali itu dapat dilaksanakan mengikut jadual asal dengan masalah air tamat seperti ditetapkan pada 12 September,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat lokasi paip dasar sungai Tangki Berangan berdekatan Pulau Sekati di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, alat penyambung paip baharu berkenaan mempunyai daya ketahanan tinggi dan lebih fleksibel daripada yang lama.

Terdahulu, gangguan bekalan air yang membabitkan 28,700 akaun pengguna di dua daerah, iaitu Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berpunca daripada insiden paip pecah kali kedua di dasar Sungai Terengganu.

SATU memaklumkan, pasukan teknikal berjaya mengesan masalah itu pada paip sama bersaiz 1,200 milimeter (mm), namun di tempat berlainan daripada yang sudah dibaiki sebelum ini.