• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Kerajaan Negeri Prihatin Nasib Golongan OKU - Isteri MB


Oleh: Safwan Syakir

KUALA NERUS, 27 Januari - Nasib golongan orang kelainan upaya (OKU) sentiasa diberi tumpuan dan perhatian yang serius oleh kerajaan negeri Terengganu.

Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa’), Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, kerajaan negeri sentiasa mencari jalan yang terbaik bagi memastikan kehidupan golongan OKU tidak ketinggalan dengan masyarakat yang lain.

Jelasnya lagi, usaha kerajaan ini dapat dilihat melalui pelbagai inisiatif baru yang  diperkenalkan oleh kerajaan termasuk memperuntukkan dana yang besar bagi menjayakan program untuk golongan OKU.


“Ini terbukti dengan sebanyak RM 3 juta untuk pembinaan Pusat Pengajian Al-Quran Braille, RM 1 juta untuk program Dana Prihatin Terengganu (D-Hati) manakala RM 500,000 untuk program Riding For Disable,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti  (PPDK) daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus bertempat di dewan Felda Wilayah Timur Tepoh, Kuala Nerus baru-baru ini.


Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Khairunnisa', Zarani Othman dan Timbalan Pengarah Kebajikan Masyarakat negeri Terengganu, Norazaman Abdul Manaf.

Tambah beliau, golongan OKU juga mempunyai potensi diri yang istimewa sehingga ada yang berjaya menempa nama di persada negara, justeru beliau berharap agar setiap program yang dilaksanakan mampu membangunkan lagi golongan OKU.

“Kejayaan golongan OKU di dalam masyarakat sebagai tokoh akademik, tokoh perniagaan bukan lagi perkara asing pada masa kini.

“Harapan saya semoga usaha-usaha dan program-program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri ini dapat memberi manfaat kepada golongan ini,” katanya.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merupakan antara badan pelaksana yang aktif merancang dan melaksanakan program bagi golongan OKU di setiap daerah dalam negeri Terengganu.

Antara program yang dianjurkan oleh JKM ialah Economic Empowerment Program (EEP) bagi mengasah dan mengembangkan bakat golongan OKU dalam setiap bidang yang diceburi bermula daripada kanak-kanak.

EEP dilihat mampu memenuhi harapan kerajaan negeri Terengganu untuk  membangunkan potensi golongan OKU.

Tag: