lightning-solid
Berita :
Kerajaan Negeri Puji Petronas Selesaikan Isu Nelayan Terjejas Akibat Eksplorasi Minyak
Kerajaan Negeri Puji Petronas Selesaikan Isu Nelayan Terjejas Akibat Eksplorasi Minyak
Ahmad Zaeem Zainudin
11 Nov 25
596

KUALA TERENGGANU, 11 November - Kerajaan Negeri Terengganu memuji pendekatan Petronas yang tidak lepas tangan terhadap kesan aktiviti eksplorasi dan eksploitasi minyak di perairan Terengganu, sebaliknya mengambil tanggungjawab dengan melaksanakan proses pampasan kepada nelayan yang terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, aktiviti eksplorasi dan eksploitasi kawasan minyak oleh Petronas telah menyebabkan sejumlah nelayan mengalami kehilangan peralatan menangkap ikan seperti unjam dan bubu.

Menurutnya, kerajaan negeri berfikir secara realistik bahawa situasi menang-menang perlu dalam isu yang melibatkan sumber ekonomi negara dan dalam masa sama tidak menyisihkan mata pencarian masyarakat setempat, khususnya golongan nelayan yang terkesan akibat eksplorasi itu.

579920583_1374783130680618_2944357519998788398_n (1).jpg 185.31 KB
"Dalam bab ini kita tidak kita tidak salahkan Petronas. Tapi tindakan mereka untuk hendak wujudkan situasi menang-menang itu tepatlah.

"Kita tak dedahkan kepada umum. Cukup untuk kita ambil makluman bahawa Petronas sedang menjalankan kerja (untuk membayar pampasan kepada nelayan yang terkesan) daripada 2024 lagi," katanya.

Pembentangan pengaturcaraan bagi proses gantirugi dan bayaran pampasan kepada nelayan yang terlibat telah dibincangkan dalam satu pertemuan antara kerajaan negeri dan pihak Petronas yang diketuai General Manager Strategic Advisory Petronas, Rahizan Ahmad dan Pengurus Besar Pejabat Petronas Wilayah Timur, Mohammad Ahmad Shazly.

Mengulas lebih lanjut, Dr. Azman menjelaskan Petronas kini sedang menyelesaikan perkara tersebut secara tertutup dengan memanggil setiap nelayan yang mengemukakan tuntutan untuk proses justifikasi.

Katanya lagi, nelayan yang terjejas perlu mengemukakan laporan polis serta menyatakan koordinat lokasi alat mereka sebelum kadar pampasan ditetapkan mengikut jenis peralatan seperti bubu, unjam kecil atau unjam induk.

Menurut Dr. Azman, jumlah pampasan yang dibayar setakat ini telah mencecah ratusan ribu ringgit, dengan proses penilaian tuntutan kini sedang disemak bersama Jabatan Perikanan.

"Setakat ini Petronas bersama dengan Jabatan Perikanan duduk semeja untuk panggil nelayan-nelayan yang mengemukakan tuntutan berbincang," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa proses semakan dibuat dengan teliti bagi memastikan kesahihan setiap tuntutan yang dikemukakan.

"Biasalah rakyat kita bila dibuka ruang, orang pakat tuntut. Kadang-kadang ada yang mereka yang tak berkenaan pun mari tuntut. Sebab benda itu dalam laut yang luas. Benda-benda itu lah memerlukan proses," tambahnya.

Dr. Azman berkata, selepas selesai proses semakan akhir, Petronas akan melaksanakan pembayaran kepada nelayan yang layak.


Artikel Berkaitan