• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Negeri Pulihkan TTI Yang Rosak, Terbiar

KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berjaya menyelesai pelbagai masalah yang melibatkan kerosakan pembangunan dan monumen terbiar di Taman Tamadun Islam (TTI) selepas pertukaran kerajaan pada 2018.

Pengurus Besar TTI, Ahmad Bukhori Ghazali berkata banyak inisiatif serta peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu pembangunan TTI supaya bertambah baik.

Katanya, Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak RM5 Juta pada bulan April lalu bagi memperbaiki segala kerosakan dan penambaikan Taman Tamadun Islam di sini.

“Pihaknya juga telah menyenaraikan kerosakan yang perlu diperbaiki melalui peruntukan tersebut antaranya atap di Dewan Pusat Konvensyen kerana merupakan pusat utama TTI.

“Selain itu, penambahbaikan Masjid Kristal dan sebahagian bangunan di Taman Monumen yang memerlukan peruntukan yang besar kerana kepakaran kontraktor tertentu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Bicara Jabatan di TV Darul Iman di sini pada hari ini.

Tambah Ahmad Bukhori, pada tahun 2018, TTI juga menerima peruntukan daripada kerajaan negeri bagi memperbaiki Masjid Kristal sehingga berjaya dibuka semula dan menjadi tumpuan dunia hingga kini.

Selain itu, pihaknya juga mendapat peruntukan bagi memperbaiki tebing sungai yang berdekatan Terminal Feri yang rosak disebabkan banjir besar.

“Isu berkenaan TTI sentiasa mendapat perhatian Kerajaan negeri kerana ia merupakan mercu tanda bagi negeri Terengganu dalam sektor pelancongan, ketamadunan dan sebagainya di sini," katanya.

Menurutnya, pada tahun lepas salah satu monumen di TTI yang mengalami kerosakan pada atap telah tular di media sosial.

“Perkara tersebut mendapat perhatian kerajaan negeri dan terus memberi peruntukan menerusi Jabatan Pelancongan bagi memperbaiki kerosakan tersebut.

“Isu tersebut telah selesai diperbaiki pada bulan Disember 2022 yang lepas berkat peruntukan kerajaan negeri dan usaha pelbagai pihak,” ujarnya.

 


Tag: