• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Sedia Bantu TCFC


KUALA TERENGGANU, 23 Januari- Kemelut bayaran gaji bekas pemain dan jurulatih Terengganu City FC (TCFC) yang didakwa tertunggak bernilai hampir RM1 juta mendapat respon positif kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajan negeri bersedia memberi sokongan untuk mendapatkan penajaan, termasuk memberikan surat sokongan bagi membantu pasukan bola sepak luar daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu supaya terus mewarnai kancah bola sepak tempatan. 

Bagaimanapun, menurut beliau kerajaan negeri mengakui berdepan kekangan kewangan untuk membantu TCFC berikutan turut menjaga pasukan lain di bawah PBSNT.

“Kerajaan negeri menghargai usaha mereka (TCFC) untuk terbabit dalam dunia bola sepak sehingga muncul juara Piala FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) musim lalu.

“Tetapi kerajaan negeri mengalami kesukaran untuk membantu berkaitan sumber kewangan, kerana kita juga ada ‘anak’ yang perlu dijaga bawah PBSNT.

“Semua ini memerlukan implikasi kewangan yang agak besar berbanding sukan lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sejurus menerima kunjungan hormat daripada Ahli Jawatankuasa Kelab Media Wartawan Terengganu (Kawat) kepada Menteri Besar, di Pejabat Menteri Besar, di Wisma Darul Iman, semalam.

Justeru, beliau meminta pemain, jurulatih dan pengurusan kelab TCFC itu duduk berbincang sekali lagi bagi mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah itu.

Tag: