• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Perkasa Skim Rondaan

HULU TERENGGANU, 20 Disember - Kerajaan Negeri berusaha mengukuhkan kerjasama di kalangan anggota masyarakat dengan menyokong pergerakan secara aktif Skim Rondaan Sukarela (SRS) seluruh negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pembangunan Wanita Keluarga dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kassim berkata, justeru peruntukan berjumlah RM30 ribu disampaikan bagi melaksanakan Program Pengukuhan Kesedaran Keselamatan dan Pemerkasaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Tahun 2023 di seluruh negeri Terengganu.

"SRS ini merupakan usaha di atas kesedaran yang tinggi anggota masyarakat. 

"Ada orang yang tidak langsung terlibat dalam menggerakkan masyarakat kerana tidak memiliki rasa tanggungjawab dan kecaknaan kepada persekitaran.

"Dalam Islam, orang yang memikiki kemampuan kewangan diperintah mengeluarkan zakat secara tidak langsung mewujudkan hubungan sesama masyarakat yang dibantu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan program berkenaan di Perpustakaan Awam Hulu Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Perpaduan Nasional (JPNIN) Terengganu, Ahmad Nazif Mohamad dan Pegawai JPNIN daerah Hulu Terengganu, Asronizam Mamat.

Tambahnya, galakan perlu diberikan kepada anggota masyarakat untuk bersama menggalas tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan persekitaran, bukan semata-mata berharap kepada agensi kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan.

"Kadar jenayah di sesetengah tempat agak meningkat dan usaha SRS dilihat dapat mengurangkan masalah itu.

"Melalui skim ini kita boleh mewujudkan kerjasama di kalangan orang kampung tanpa bergantung sepenuhnya kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan menjaga ketenteraman.

"Walaupun mungkin tidak dapat menghapuskan jenayah, ia dapat membendung penularannya," ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil itu menyeru supaya masyarakat memberi sokongan moral kepada anggota SRS yang terlibat dengan membantu dari pelbagai sudut lain.

Dalam program sehari yang dilaksanakan di peringkat daerah Hulu Terengganu, turut diadakan pemberian bakul Rahmah bagi mangsa banjir di setiap KRT terlibat.

 


Tag: