• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Sumbang RM220,000 Kepada Mahasiswa

KUALA NERUS, 19 April – Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu menyerahkan geran sumbangan aktiviti tahunan sebanyak RM220,000 kepada Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) di sini semalam.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, sebanyak 20 PERMATA Universiti (IPTA), 1 PERMATA Kebangsaan dan 1 PERMATA Universiti (IPTS) menerima sumbangan RM10,000.

“Majlis Iftar Perdana PERMATA yang dihadiri oleh 350 mahasiswa ini mendapat sambutan yang meriah daripada kalangan pelajar IPTA dan sebilangan IPTS di seluruh negara. 

“Ukhwah yang terjalin dalam kalangan ahli PERMATA yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan universiti ini merupakan satu nilai murni yang sangat baik dalam kita menjaga keharmonian bermasyarakat," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Iftar Perdana Permata Kebangsaan sesi 22/23 bertempat di Dewan Baiduri 2, Raia Hotel & Convention Centre di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Azmi Mohamad Daham dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.

Sementara itu, Yang Dipertua Permata Kebangsaan Sesi 22/23, Ahmad Zulfikri Redwan Zamri berkata kerajaan Negeri sentiasa menyokong setiap aktiviti kami dalam PERMATA.

Katanya, dalam membantu menjaga kebajikan seluruh mahasiswa,mahasisiwi dan anak-anak Terengganu di IPTA dan IPTS di seluruh Malaysia ini.

“Kerajaan Negeri ibarat tulang belakang bagi PERMATA dalam menghulurkan bantuan dan membantu kami menjayakan setiap program.

“Setakat ini sambutan penyertaan ahli permata dari seluruh IPTA dalam Malaysia ini amat memberangsangkan dan setiap program dapat dijayakan dengan sempurna dengan bantuan semua ahli permata.

“Kata-kata sahaja tidak dapat saya ungkapkan betapa bersyukur dan berterima kasih atas bantuan yang dihulurkan kepada PERMATA,” ujarnya.

 

 


Tag: