• 14 Mei 2024 | 6 Zulkaedah 1445

Kerajaan Negeri Terima Kunjungan Hormat Exco Selangor

Ir Saiful Azmi Suhaili  mengiringi Exco Selangor,  Puan Hajah Rodziah Ismail sempena kunjung hormat ke Kampung Baru Kemasik, semalam

Oleh: Ahmad Syahid Adnan

KEMASIK- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili menerima kunjung hormat  Exco Pembangunan Usahawan/Luar Bandar/Desa/Kampung Kerajaan Negeri Selangor Puan Hajah Rodziah Ismail, ke Kampung Baru Kemasik, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau berkata, lawatan kerja ini akan memberi manfaat kepada semua pihak, terutamanya kepada rakyat.

"Kerajaan Negeri sangat berbesar hati dengan kunjungan pihak daripada dalam dan luar negeri.

"Manfaatnya, sudah pasti kepada rakyat kerana kita telah diamanahkan untuk memimpin mereka, dan saya percaya kerja serta tanggungjawab yang kita buat ini telah dilaksanakan sehabis baik untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan kepada pihak Selangor yang hadir di Pusat Internet Kampung Baru Kemasik, Kemaman, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Penolong Kanan Pegawai Daerah Kemaman, Encik Ahmad Nazwawi serta Pengerusi-pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Kukuran, Rumah Murah Kemasik, Gong Chengal, Kampung Baru Kemasik dan Kampung Baru Kiri Kemasik.

Kunjungan hormat ini bertujuan untuk mendapatkan input dalam melaksanakan Program Penarafan Bintang (Star Rating) Kampung, Dasar Pembangunan Luar Bandar dan Program Pembangunan Luar Bandar di Negeri Selangor memandangkan Negeri Terengganu pernah menjuarai Anugerah Desa Lestari Peringkat Kebangsaan 2017.


Tag: