• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Tidak Abai Pesara Sukan

KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Kerajaan negeri memberi komitmen untuk tidak mengabaikan keperluan bekas atlet selepas bersara atau tidak lagi aktif dalam karier mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, beliau memberi perhatian kepada keperluan tersebut seawal memegang jawatannya kerana umur atlet aktif kebanyakannya antara 15 hingga 35 tahun.

“Mereka masih muda jika bersara selepas itu, maka kita mengambil inisiatf tertentu untuk memberi kelegaan kepada atlet-atlet serta ibu bapa yang mungkin runsing untuk menjadikan sukan sebagai sumber pendapatan.

“Kita memperkenalkan kerjasama dengan pihak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Kolej Universiti TATI (UC TATI) bagi mengalakkan dan memberi peluang mudah untuk atlet menyambung pelajaran.

“Kemasukan dan syarat kemasukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berkenaan lebih mudah sekiranya mereka melalui program ini,” katanya katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi semalam.

Tambahnya, usaha itu dilakukan agar mereka berminat untuk melanjutkan pelajaran dan sebagai persiapan mendapat sijil bersesuaian dengan kelayakan.

“Paling kurang pesara terlibat dapat meraih sijil atau diploma untuk menempatkan kerjaya meneruskan kehidupan mereka selepas gantung kasut,” katanya lagi.

Sementara itu, Sukairi turut menjelaskan usaha seterusnya dengan mewujudkan sebuah jawatankuasa dipengerusikan timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim, dengan melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan IPT.

“Pihak-pihak berkaitan dengan pekerjaan seperti T-JOB, Sumber Manusia, Pegawai Daerah, IPT, TEKUN, TESDEC dan sebagainya akan bekerjasama dan berbincang penyelesaian bagi atlet yang bersara atau tidak aktif.

“Jawatankuasa ini berperanan memudahkan cara mereka yang ingin menjurus kepada satu bidang pekerjaan, contohnya mereka berminat meniaga, jadi kita akan beri latihan sehingga mereka bergelar usahawan.

“Kita bukan sahaja memberi jalan tetapi juga mengusahakan keperluan mereka dalam apa jua bidang selepas tempoh beraksi selepas bergelar atlet, kita akan jaga kebajikan mereka,” jelasnya.