• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Tidak Benarkan Penganjuran Island Music Festival Di Pulau Redang

Dr Alias Razak (kiri) ketika ditemui pemberita dalam sidang media sebagai mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri.
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri tidak akan membenarkan penganjuran Island Music Festival 2018 yang dirancang diadakan di Pulau Redang pada 12 hingga 14 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak berkata, festival itu bukan sahaja mendapat tentangan pelbagai pihak malah bercanggah dengan Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 Negeri Terengganu.

“Kita telah mendapat banyak bantahan daripada rakyat tempatan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Redang sendiri tidak bersetuju dengan penganjuran festival ini.

“Jika kita tengok iklan yang telah diviralkan itu memang tidak menepati langsung dengan enakmen hiburan kita dan menyimpang jauh dari ajaran Islam dan ini boleh menimbulkan gangguan seksual dengan gambar-gambar iklan yang ditayangkan itu menyalahi moral apatah lagi berkait agama Islam yang menjadi agama rasmi negara kita,” ujarnya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media sebagai mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini (3 Oktober).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.

Katanya, kerajaan negeri juga mengambil tindakan drastik dan tegas dengan tidak mengeluarkan permit kepada pihak penganjur program ini.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk tidak mengeluarkan permit kepada penganjuran festival ini.

“Kita juga akan pastikan anggota penguatkuasa kita melakukan pemantauan di lokasi terbabit dan akan memastikan ianya tidak diteruskan kerana bercanggah dengan moral ketimuran apatah lagi ajaran Islam,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran Festival Soho yang akan diadakan di Stadium Negeri Kuala Terengganu selama tiga hari bermula 4 September ini, katanya kerajaan negeri membenarkan  penganjuran festival itu selagi ianya tidak melanggar syarat-syarat yang ditetapkan.


Tag: