• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Negeri Tubuh 'Pusat Cari Kerja' Bantu Rakyat Terengganu

KUALA TERENGGANU, 9 Julai – Kerajaan Negeri mengorak satu langkah ke hadapan dalam menambah baik perkhidmatan kepada rakyat dengan menubuhkan Pusat Cari Kerja Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata pusat itu ditubuhkan dalam Bajet 2023 Negeri Terengganu yang diumumkan oleh Menteri Besar. 

Katanya, pusat itu telah mula beroperasi sejak Januari 2023, bertempat di Galeri Kerjaya Terengganu di hadapan lapangan terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu.

“Saya yakin pusat ini bakal menjadi one-stop centre bagi menyediakan perkhidmatan kepada pencari kerja dan majikan.

“Ia juga akan memberi fokus kepada gerak kerja pemadanan kerjaya bersasar yang lebih berkesan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas sesi menghadiri Walkabout bagi Program Karnival Kerjaya Myfuturejobs “Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Negeri Terengganu 2023” bertempat di Aras 2 KTCC Mall, Kuala Terengganu di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Perkeso Negeri Terengganu, Farihah Che Husin.

Tambah Nurkhuzaini, Kerajaan Negeri sentiasa berikhtiar untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan program ini adalah satu satu daripada inisiatif yang diambil untuk membawa peluang-peluang pekerjaan kepada seluruh penduduk negeri.

“Jadi, saya amat berharap program ini memberi hasil yang positif kepada rakyat Terengganu terutamanya golongan belia yang sedang mencari peluang pekerjaan.

“Bagi membantu mereka supaya mendapat sumber pendapatan yang kukuh bagi masa depan mereka,” ujarnya.

 


Tag: