SETIU , 21 Jun – Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk terus menaik taraf infrastruktur luar bandar, khususnya menukarkan jalan tanah merah kepada jalan berturap tar demi keselesaan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, proses menaik taraf sistem perhubungan tersebut sedang dilaksanakan secara berperingkat memandangkan kerja-kerja berkenaan masih berbaki dan belum selesai sepenuhnya.
Menurut beliau, salah satu kawasan yang kini sedang dalam perhatian dan proses pelaksanaan ialah projek menaik taraf Jalan Kampung Kuala Kubang, di sini.
"Kita sedang usahakan secara berperingkat untuk menukar jalan becak kepada jalan tar. Kerja-kerja ini masih belum selesai dan akan diteruskan," katanya

Dr Azman yang juga Exco Pertanian, Industri Jaminan Makanan, Komoditi dan Pembangunan Komuniti negeri menjelaskan, pemantauan rapat akan terus dilakukan bagi memastikan kualiti projek berada pada tahap terbaik dan siap mengikut jadual yang ditetapkan.
Pihak DUN Jabi juga sentiasa mengambil maklum setiap aduan serta keperluan infrastruktur di seluruh pelosok kampung bagi memastikan tiada kawasan yang tercicir daripada arus pembangunan asas.
Tag :