• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Negeri Utamakan Projek Beri Impak Sosial, Ekonomi

KUALA TERENGGANU, 9 Ogos- Pelaksanaan projek yang mampu memberi impak sosial dan ekonomi kepada rakyat menjadi keutamaan kerajaan negeri ketika ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan tersebut bertepatan dengan langkah penjimatan seperti saranan kerajaan pusat.

Katanya, semua projek yang dirancang akan dilaksanakan, tetapi keutamaan hanya membabitkan projek yang mampu memberi impak kepada sosial dan ekonomi.

"Kita tidak ingin menggunakan istilah projek ditangguh atau dibatalkan, sebaliknya kerajaan memutuskan memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek yang mampu memberi impak sosial dan ekonomi.

“Senarai projek yang dirancang untuk dilaksanakan banyak, tetapi kita utamakan yang penting dahulu, manakala yang kurang penting kita kemudiankan,” katanya.

Beliau berkata demikian  kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu 2022, di sini, kelmarin.