• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Perkemas Strategi Galak Rakyat Daftar Vaksin

KUALA TERENGGANU, 20 April – Kerajaan negeri terus memperhebat tiga strategi utama dalam meningkatkan kesedaran rakyat untuk mendaftar sebagai penerima vaksin sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, langkah itu diambil selepas  jumlah pendaftaran PICK dalam kalangan rakyat Terengganu berada di tahap yang masih rendah.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memaklumkan seramai 250,399 rakyat Terengganu atau 29.7 peratus sahaja telah berdaftar dalam MySejahtera berbanding dengan 36.1 peratus untuk seluruh Malaysia.

“Empat daerah telah menunjukkan pencapaian melebihi 30 peratus iaitu Kemaman tertinggi dengan 44,473 orang (33.6 peratus) diikuti dengan Kuala Terengganu seramai 59,713 orang (32.5 peratus).

“Marang seramai 26,017 orang (32.0 peratus) dan Kuala Nerus dengan 33,161 orang (30.8 peratus), daerah yang tidak disebut masing-masing mencatatkan kurang daripada 30 peratus,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran PICK Fasa dua Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Chendering semalam.

Mengulas lanjut Dr Alias menjelaskan, antara insiaitif yang diperkasakan ialah program bersemuka atau kempen rumah ke rumah oleh Pejabat Daerah masing-masing melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Kita pergi ke rumah untuk terangkan kepentingan vaksinasi dan kemudian terus daftar melalui secara langsung melalui pengisian borang atau aplikasi MySejahtera.

“Selain itu, kaunter bergerak juga diadakan di kawasan tumpuan seperti pasar raya, bazar Ramadan dan pasar harian untuk memudahkan mereka yang belum berdaftar melalui pegawai bertugas.

“Manakala di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, kita buka pendaftaran statik di 40 buah Pusat Khidmat Masyarakat seluruh negeri di mana mereka boleh datang bila-bila masa untuk daftar,” katanya lagi.

Tambah beliau, imunisasi kelompok mampu diwujudkan pada penghujung tahun ini jika lebih ramai yang berdaftar di dalam MySejahtera.