KUALA TERENGGANU, 22 Mei - Kerajaan diminta mempertingkatkan pemantauan harga-harga barang keperluan di pasaran seluruh negara memandangkan fenomena kenaikan harga barang dilihat sangat meluas ketika ini.
Ahli Dewan Negara (Terengganu), Senator Dato’ Husain Awang berkata, tindakan drastik perlu dilakukan supaya tiada pihak menangguk di air keruh dengan mengambil kesempatan bagi menaikkan harga sesuka hati.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu menggiatkan peranan Pegawai Pemantau Harga di seluruh negara secara intensif agar tujuan pemantauan tercapai.
“Saya juga berharap KPDNHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu melaksanakan usaha mengoptimumkan pemasaran barangan keperluan dan makanan keluaran tempatan bagi memastikan tahap kebergantungan terhadap barangan import berkurangan.
“Pada waktu ini, saya percaya kualiti dan kuantiti barangan tempatan sudah mampu memenuhi permintaan tempatan, yang tinggal hanya sokongan dan bantuan dari pihak Kerajaan untuk merealisasikan usaha ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, beliau berharap agar rakyat berhemah dalam membuat perbelanjaan harian dan mengamalkan melakukan simpanan peribadi agar bersiap sedia menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu.
“Kita sama-sama berusaha dan seterusnya berdoa kepada Allah S.W.T agar segala ujian dan dugaan yang wujud pada waktu mencabar ini dapat dilalui oleh rakyat Malaysia dengan tabah,” ujarnya.