• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Pusat Bertanggungjawab Lunas Royalti - MB Terengganu


Dr. Samsuri menerima cenderamata daripada EPIC.
KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab meneliti jumlah royalti yang sepatutnya diterima oleh negeri Terengganu dan melunaskan baki yang masih tertunggak.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun bakal memasuki tahun 2019, pembayaran royalti bagi tahun ini perlu disempurnakan.

"Ia masih lagi menjadi tanggungjawab Kementerian Kewangan.

"Pada kita, ia adalah royalti walaupun dengan apa sahaja nama yang dipanggil oleh Kerajaan Persekutuan, ia tetap berdasarkan perjanjian yang telah ditandatangani oleh Petronas dan kerajaan pada tahun 1974.

"Melalui pengiraan kasar pihak kita, terdapat sekitar RM250 juta lagi yang menjadi milik Kerajaan Terengganu.

"Selepas pilihan raya umum lalu, kita telah menerima pembayaran sebanyak tiga kali berjumlah RM450 juta," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Malam Penghargaan Media anjuran Eastern Pasific Industrial Corporation (EPIC) di Hotel Primula, semalam.


Kepimpinan negeri dan EPIC bersama wartawan Terengganu.
Majlis tersebut meraikan pengamal media seluruh negeri yang berusaha bersungguh-sungguh menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Dr. Samsuri juga sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada pengamal media yang hadir.

"Tidak ada imbuhan dan bayaran yang membolehkan media memberikan laporan yang seimbang tentang negeri ini.

"Mewakili kerajaan, saya mengharapkan kerjasama yang erat antara media kerajaan untuk tahun 2019," katanya.





Tag: