• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Kerajaan Pusat Digesa Tangani Isu Doktor Duka Lara Dan Vaksin

 
Ahmad Amzad Hashim.
Oleh: Syed Kamal
 
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Kerajaan Pusat digesa untuk menyelesaikan masalah berkaitan doktor duka lara dan salah faham terhadap penggunaan vaksin yang kian membarah dalam masyarakat.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, masalah itu menyebabkan rakyat Malaysia hidup dalam keadaan yang penuh dengan kebimbangan.
 
Jelasnya, paling merisaukan apabila isu berkaitan doktor pelatih yang ditempatkan berjauhan dengan keluarga dan keengganan segelintir masyarakat menggunakan vaksin akan mengakibatkan kesan buruk.
 
Doktor pelatih terutama bagi yang sudah berkahwin terpaksa berkejar antara tempat kerja dengan rumah dengan mengejar masa hingga keletihan termasuk sesudah on call, ada yang kemalangan jalan raya sehingga maut.
 
Mengenai vaksin pula, ia menjadi masalah dalam kalangan segelintir umat Islam,” ujarnya.
 
Beliau berkata demikian ketika mencelah perbahasan Titah DiRaja oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, di Dewan Rakyat, kelmarin.
 
Mengulas lanjut tentang masalah tersebut, beliau berkata, kementerian serta pihak berkuasa harus mengambil perhatian yang serius.
 
Ujarnya, beliau berharap agar pekeliling Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan doktor pelatih disemak kembali agar tidak merugikan negara dan rungutan doktor duka lara dapat diselesaikan segera.
 
Dalam menyelesaikan isu vaksin pula, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama KKM digesa duduk semeja bagi memberi penerangan sebenar tentang vaksin.
 
Soal pekeliling Kementerian Kesihatan mengenai penempatan doktor pelatih (houseman) perlu ada budi bicara bila melibatkan soal kebajikan kehidupan doktor.
 
“Amat merugikan negara, para doktor yang dihasilkan dengan pelaburan besar, meninggal kerana kemalangan jalan raya berpunca daripada kegagalan Kementerian mengambil cakna isu kebajikan dalam penempatan doktor.
 
Saya minta JAKIM dan pihak berkuasa agama yang lain membantu dengan membuat penjernihan isu ini agar tidak berbangkit lagi keraguan,” tambah beliau.
 
 

Tag: