• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Salur Bantuan RM1.67j Melalui TDI

KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Sejumlah RM1.67 juta peruntukan Tabung Darul Iman (TDI) telah diagihkan kepada semua pemohon yang berkelayakan sejak Januari 2022 hingga Jun 2022. 

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata sehingga kini seramai 1,421 penerima telah mendapat manfaat TDI.

Katanya, agihan bantuan itu mengalami sedikit kelewatan pada tahun ini kerana kerajaan negeri menggunakan sistem baharu dan perlu mendaftar setiap penerima bantuan ke dalam portal Perakaunan Akruan Kerajaan Negeri (iSPEKS).

"Banyak kelulusan yang telah dibuat bagi tahun ini dan sedang menunggu peruntukan dikeluarkan daripada kewangan negeri.

"Proses naik taraf portal ini dibuat secara berperingkat dalam masa terdekat, pembayaran akan dapat dilakukan mengikut jadual seperti biasa.

"Saya menegaskan bantuan tidak mengira warna kulit serta ideologi politik. Siapa yang layak menerima bantuan, negeri (kerajaan) perlu bantu demi kebajikan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Hanafiah yang juga ADUN Chukai menjelaskan bahawa rekod penerima manfaat TDI bagi tahun 2020 berjumlah RM6.89 juta dengan 8,214 penerima dan RM5.97 juta (7,243 penerima) bagi 2021.

Pada masa sama, pihak pengurusan TDI masih dalam proses mendaftarkan penubuhan TDI sebagai sebuah yayasan dan dijangka selesai sekitar tiga bulan lagi.


Tag: