• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kerajaan Salur Peruntukan Segera RM2 Juta Baiki Jalan Berlubang

Oleh : Amiruddin Zamri

DUNGUN, 29 November - Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan segera sebanyak RM2 juta untuk membaik pulih jalan mendap dan berlubang di laluan T125, Jalan Tepus-Kuala Jengai di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengenalpasti punca kerosakan dan bersetuju untuk membuat pembentung baharu bermula esok.

“Pembentung konkrit yang selebar 10 kaki, tinggi 8 kaki dan panjang 60 kaki.

"Pembentung berkembar akan kita buat dengan mengambil kira kedalaman sekitar 30 hingga 40 kaki untuk menggelakkan jalan kembali rosak.

“Projek ini dijangka siap dalam masa sebulan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media ketika lawatan ke kawasan terbabit pagi tadi.

Turut hadir Pengawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, JKR Dungun dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Dalam perkembangan sama, Ghazali berkata, kerja-kerja akhir untuk proses pelaksanaan akan dimuktamadkan hari ini.

"Laluan motosikal sementara akan dibina bagi memudahkan penduduk keluar mencari rezeki dan melakukan aktiviti harian.

"Buat masa ini laluan alternatif penduduk Kampung Rantau Panjang dan Kampung Kuala Jengai di laluan FT14, Jalan Jerangau-Jabor Persimpangan Uitm Bukit Besi-Jalan Besol Lama," jelasnya.

Semalam, lima buah kampung terputus hubungan selepas laluan Tepus-Kuala Jengai mendap dan berlubang.

Ia berpunca akibat pembentung yang berusia lebih 30 tahun sudah tamat tempoh dan rosak.


Tag: