• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Sedang Kemaskini Data Kerugian Akibat Banjir

KUALA NERUS, 16 Mac - Maklumat kerugian mangsa banjir di Terengganu masih lagi di peringkat kemaskini bagi mengenalpasti bantuan sesuai mengikut keperluan masing-masing.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara itu akan mengambil masa kerana jumlah kerugian mangsa berbeza-beza dan perlu diaudit.

Katanya, buat masa sekarang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Pengurusan Kampung (JPKK) yang terlibat sedang berurusan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pegawai Daerah untuk penyelarasan data serta bantuan.

"Bantuan akan disalurkan dari Tabung Darul Iman dan pada masa sama bantuan segera dari badan-badan korporat juga ada yang telah disalurkan termasuk dari sumbangan zakat negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek rumah pangsa mampu milik Kampung Banggol Pauh di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, bagi rumah yang rosak sepenuhnya, Ahmad Samsuri berkata, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan terlibat bagi menanggung kos pembinaannya seperti dalam bencana sebelum ini.

Banjir gelombang kelima di Terengganu yang bermula pada 25 Feb lepas melibatkan lebih 17,000 mangsa di lapan daerah.