• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Sedia Peluang Rakyat Bina Kerjaya

KUALA NERUS, 21 Jun - Rakyat di negeri ini disaran membina kerjaya sendiri melalui pelbagai tawaran dan inisiatif yang disediakan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, orang ramai digesa tidak menunggu tawaran kerja semata-mata sebaliknya perlu bijak memanfaatkan peluang yang ada.

Katanya, usaha itu perlu dilakukan pasca pandemik ini kerana perubahan gaya hidup.

“Saya rasa tidak perlu lagi kita mengambil sikap sebagaimana sepuluh tahun dulu dengan menunggu kerja ditawarkan di hadapan kita. 

“Masing-masing perlu cari jalan untuk mencipta pekerjaan sama ada dalam industri yang sedia ada dalam pelbagai bentuk ataupun memerlukan kreativiti untuk mencipta kerja masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas merasmikan Seminar My Local Stats dan Sustainable Development Goals (SDG) di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu, di sini hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri lagi, inisiatif dan bantuan yang disediakan adalah melalui agensi-agensi di bawah kerajaan negeri.

“Contohnya TD1303 menyediakan kursus-kursus yang berkaitan  dengan aplikasi dan sebagainya.

"Oleh itu, rakyat yang rasa nak merebut peluang mereka kena meninjau apa jua yang ada di hadapan dan merebutnya untuk berjaya,” katanya.

Untuk rekod, antara bantuan yang disediakan ialah skim bantuan modal tani (SMBT) untuk kategori pertanian dan Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) bagi perniagaan.

Dalam majlis yang sama, Jabatan Perangkawan Malaysia (DOSM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini turut memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, dan Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar, dengan disaksikan oleh pegawai kanan kedua-dua agensi tersebut.

Antara bidang kerjasama yang telah dipersetujui oleh DOSM dan UMT melalui MoU ini adalah perkongsian kepakaran profesional dalam bidang berkaitan pengumpulan, pentafsiran, penyebaran perangkaan rasmi dan bidang-bidang lain yang berkaitan dan kerjasama dalam program berbentuk akademik.

MoU antara DOSM bersama UMT ini merupakan MoU yang ke-21 ditandatangani DOSM bersama Institusi Pengajian Tinggi.

Terdahulu, Mohd Uzir dalam ucapannya memaklumkan bahawa Terenggganu telah merekodkan pencapaian SDG yang baik bagi beberapa indikator mengikut lima bidang tumpuan.

Ia termasuk penurunan kadar pengangguran daripada 4.1 peratus pada 2020 kepada 4.0 peratus pada 2021.