• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kerajaan Selesai Pemilikan Kekal RMM Kuala Besut

BESUT, 19 Mac – Kerajaan Negeri dalam usaha menyelesaikan masalah pemilikan secara strata bagi 217 pemilik di Rumah Mampu Milik (RMM) Mengabang Besar dan RMM Tok Saboh, Kuala Besut.

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Rozali Salleh berkata, dua RMM itu melibatkan 175 unit di Mengabang Besar dan Tok Saboh (47).

“Pada awalnya dua RMM ini diberikan hak secara sewaan sehingga satu tempoh termasuklah permintaan penduduk itu sendiri berkenaan hak milik strata.

“Namun isu yang berlaku adalah adanya binaan tambahan terhadap beberapa buah rumah yang perlu kita selesaikan sebelum permohonan geran strata itu dibuat.

“Maka kita minta tindakan daripada penduduk terlibat agar mematuhi arahan diberikan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke RMM Mengabang Besar dan Tok Saboh dalam meneliti pemilikan secara strata berkenaan baru-baru ini.

Turut hadir, Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh dan Pegawai Daerah Besut, Azran Amin Mazlan.

Rozali turut menyatakan bahawa penduduk yang melakukan binaan tambahan itu sudah menerima beberapa kali notis pagar dirobohkan namun tiada tindakan.

“Kita akan bertindak secara berhemah tapi sekiranya perlu kita akan bertindak selaras dengan undang-undang. 

“Kita (kerajaan) akan membuat penilaian bagi ‘demolition’, peruntukan akan ditanggung daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kuala Besut,” tambahnya.

Walau bagaimanapun, ujar beliau lagi, kos tersebut akan dibawa ke pihak kewangan negeri sekiranya memerlukan kos yang besar.

"Kerajaan turut meneliti beberapa buah lagi RMM yang menghadapi masalah sama bagi mendapatkan penyelesaian buat semua pihak," jelasnya.

 


Tag: