• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Sempurnakan Penempatan Baru Mahasiswa Di Mesir

KUALA TERENGGANU, 8 Mei – Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu hari ini menyempurnakan pemilikan sebuah bangunan 10 tingkat sebagai penempatan baru mahasiswa Terengganu di Mesir.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sektor pendidikan akan kekal menjadi salah satu teras keutamaan bagi pembangunan kerajaan Negeri Terengganu. 

“Selain menyediakan peluang pendidikan dalam bentuk penajaan dan pembiayaan kepada para pelajar, keperluan prasarana yang lengkap turut menjadi keperluan.

“Justeru, kerajaan negeri komited bagi memastikan mahasiswa Terengganu dapat menimba ilmu dalam persekitaran yang lebih kondusif dan selesa.

“Kita telah membuat keputusan untuk membeli dua buah bangunan baru di Hayyu Sabik, satu daripadanya akan dirasmikan hari ini,” katanya dalam ucapan Perasmian Wisma Darul Iman Terengganu di Kaherah, Mesir.

Bangunan 10 tingkat (Wisma Darul Iman Terengganu) Haiyyu Sabik

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Mesir, Zamani Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham. 

Terdahulu, kerajaan negeri mempunyai dua buah bangunan di Hayyu Asyir dan Mansourah namun kerajaan memutuskan untuk menjual bangunan di Mansourah dan membeli bangunan di hayyu Sabik bagi menyediakan penempatan yang lebih selesa.

Wisma Darul Iman Terengganu tersebut mempunyai kapasiti 10 tingkat dengan 64 buah bilik yang mampu menempatkan 256 pelajar dalam satu-satu masa.

Dengan pemilikan bangunan itu, kira-kira 500 mahasiswa Terengganu di Mesir bakal menikmati asrama dan kemudahan yang lebih selesa.

Kerajaan negeri turut menyampaikan wang tunai berjumlah RM20,000 kepada Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir (KPT) dalam majlis tersebut. 
 

 


Tag: