• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kerajaan Tak Pilih Kasih, Lantik Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam

Dr Balachandran Gopal Krishnan.
KUALA TERENGGANU - Pelantikan Ketua Dewan Himpunan Penyokong Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan sebagai Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam kepada Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membuktikan bahawa Kerajaan Terengganu yang diterajui PAS merupakan kerajaan yang adil untuk semua golongan rakyat.

Menurut Dr Balachandran, dalam konteks hal bukan Islam, rakyat bukan Islam ternyata dihormati dan turut menjadi keutamaan kerajaan negeri.
                                                                                                                        
“Ianya adalah suatu pengiktirafan PAS kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) bahawa parti ini memang menjaga hak bukan Islam dalam konteks memahami pemasalahan mereka.

“Slogan ‘PAS For All’ itu memang ditepati walaupun orang bukan Islam di Negeri Terengganu hanya berjumlah sebahagian kecil.

“Justeru, mewakili pihak DHPP, saya merasa rendah diri diberi penghormatan dan amanah seumpama ini dan akan berusaha mengemuka dan menyelesaikan pemasalahan orang bukan Islam di Negeri Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini (22 September).

Tambahnya lagi, dengan pelantikan ini, beliau dapat berhubung terus dengan Menteri Besar untuk menyelesaikan masalah yang sedia ada.

“Kita berharap puak-puak yang menyebarkan fitnah bahawa PAS merupakan parti yang  mempermain atau mempergunakan orang bukan Islam untuk kepentingan mereka itu dihapuskan sama sekali.

“Ianya adalah tuduhan yang tidak berasas.

“Saya berharap orang bukan Islam di Terengganu memahami hasrat kerajaan negeri yang sememangnya memberi perhatian kepada masalah-masalah orang bukan Islam,” ujarnya.

Beliau turut berbesar hati kerana DHPP dihormati oleh PAS sebagai satu entiti bukan Islam yang juga merupakan ‘jambatan’, perantara parti dan orang bukan Islam.




Tag: