• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kerajaan Tangani Gejala Sosial Remaja Terengganu


 
"Gejala sosial di kalangan remaja Terengganu ditangani dengan baik." -Dr Ahmad Samsuri (kanan).
KUALA TERENGGANU, 29 November - Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai program bagi menangani masalah keruntuhan akhlak serta gejala sosial di kalangan remaja melalui pelbagai jabatan kerajaan.

Ini termasuk melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Yayasan Islam Terengganu (YIT).

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, JHEAT melalui Bahagian Undang-undang Keluarga melaksanakan beberapa program untuk tujuan tersebut termasuk Program Pembangunan Keluarga Islam (PPKI) dan Program Pembangunan Sosial (PPS).

Menteri Besar berkata, bahagian itu juga mewujud dan memperkasakan Modul Keluarga Sakinah yang bersepadu dan praktikal melalui program kursus perkahwinan Islam, Ziarah Mahabbah dan Bimbingan Islam kepada Pesakit-pesakit di Wad Hospital seluruh Daerah di Negeri Terengganu dan lain-lain.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Haji Wan Hapandi Wan Nik dalam Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke 14 di Wisma Darul Iman di sini.

Dr Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang berkata, sebanyak empat program untuk tujuan tersebut juga dilaksanakan oleh Bahagian Dakwah JHEAT termasuk mewujudkan kelas Agama Islam Terengganu (SPAIT), menempatkan seramai 260 orang muallim dan 56 pegawai Daie bagi mengimarahkan masjid dan suaru di seluruh negeri Terengganu, membuka kelas Tafaqquh Fiddin, kursus kefahaman Islam dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan menerbitkan bahan bercetak untuk pelajar dan masyarakat awam.

"Perbelanjaan bagi aktiviti ini untuk tahun 2018 adalah sebanyak RM309,000," jelas beliau.
Menurut Dr Ahmad Samsuri berkata Bahagian Penguatkuasaan JHEAT juga melaksanakan enam program termasuk Seminar Pencegahan Jenayah Syariah kepada Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu.

Kursus Pencegahan Jenayah Syariah kepada Pelajar Sekolah bagi Daerah Setiu 2018, Forum Ihya' Ramadhan "Hebat Ibadat, Delete Maksiat", Program Islam Mukhayyam Komuniti Di Sayang.

Seminar Pencegahan Jenayah Syariah kepada Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun dan Pelajar Kolej Vokasional Dungun serta Program Bina Insan Komuniti Yang Disayangi.

Sementara itu YPK pula melaksanakan tiga program termasuk Saya Anak Terengganu "Taklif"-Pemantapan Tanggungjawab Ibu Bapa dan Anak, Saya Anak Terengganu "Ingat Sebelum Terkena", Saya Anak Terengganu "Peningkatan Potensi Diri".

Sementara i-MiTS pula kata beliau sentiasa menangani masalah gejala sosial di kalangan remaja secara berterusan melalui bimbingan kerohanian, majlis ilmu, sukan, pembinaan jati diri dan pendedahan kerjaya.

Dalam pada itu YIT juga mengadakan pelbagai progran termasuk Usrah di kalangan Mat Motor, Penagih Dadah, Kak Yah (Pondan), remaja terlibat budaya Punk dan lain-lain.

Tag: