• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Kerajaan Teliti Pelaksanaan Vaksin Terhadap Kanak-kanak

HULU TERENGGANU, 13 November – Kerajaan masih meneliti data-data bagi memastikan pelaksanaan vaksinasi terhadap kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun di Malaysia selamat buat warga sasar tersebut.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim memaklumkan perkara tersebut dan percaya kerajaan akan mengambil langkah-langkah sesuai bagi memastikan pelaksanaannya yang sudah berjalan di negara luar, bermanfaat buat masyarakat Malaysia.

Menurutnya, penglibatan MOSTI dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini hanya khusus kepada kajian pembangunan vaksin.

“Kita telah serah tanggungjawab vaksinasi dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun makluman berkenaan program suntikan kepada kanak-kanak masih dalam proses kajian dan perancangan yang mencukupi dan lengkap.

“Seperti mana sebelum ini kita perlu pastikan risiko dos vaksin adalah seperti mana sebelum ini iaitu pada kadar minimum,” katanya selepas program Jelajah Ilmuan ‘Ride to Kenyir’ di Madrasah Darul Ansar, Kampung Basung, petang tadi.

Terdahulu, Malaysia akan meneruskan pemerolehan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Khairy bagaimanapun belum memperincikan bilakah pemberian vaksin COVID-19 akan mula diberikan kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun itu.

Sehingga semalam, Terengganu mencatatkan kadar vaksinasi sekurang-kurangnya satu dos adalah sebanyak 69.8 peratus, dengan 67.6 peratus lengkap divaksinasi dengan 30 peratus lagi belum disuntik dos vaksin COVID-19.