• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Teliti Taja Penerbangan Perantau Sabah Balik Mengundi

KUALA TERENGGANU, 31 Mac – Kerajaan negeri menyambut baik cadangan untuk menyediakan penerbangan khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Terengganu bagi memudahkan perantau menunaikan hak mengundi pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti.

Pengerusi Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu Universiti Malaysia Sabah (PERMATA UMS), Mohd Ikhwan Mohd Puad, 22, berkata cadangan tersebut dilontarkan dalam sesi pertemuan santai bersama pimpinan kerajaan negeri di Dewan Pusat Islam, UMS baru-baru ini. 

“Cadangan yang disampaikan adalah memohon kerajaan negeri supaya menyediakan penerbangan khas atau memberikan elaun perjalanan kepada perantau Terengganu Sabah bagi pulang mengundi pada PRU-15 nanti.

“Kami (perantau Terengganu) amat berbesar hati sekiranya perkara tersebut mampu dilaksanakan bagi mengurangkan kos perjalanan dalam menunaikan tanggungjawab amalan demokrasi,” tambah beliau ketika dihubungi pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra Kerajaan Negeri bersama perantau Terengganu di Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh dan Pengerusi Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU) Sabah, Mohd Anuar Ali.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, cadangan tersebut amat baik dan kerajaan negeri akan meneliti serta berbincang bersama pihak syarikat penerbangan akan datang.

“Cadangan tersebut amat baik dan pastinya perkara demikian akan dibincangkan apabila tiba waktunya.

“Kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan golongan mahasiswa sama ada yang belajar di dalam negara atau luar negara kerana mereka ini merupakan aset penting negeri,” ujarnya. 

Ariffin yang juga ‘ayah angkat’ PERMATA UMS turut menyampaikan sumbangan tunai berjumlah RM1,000 bagi kebajikan mahasiswa Terengganu di UMS dalam majlis tersebut.

PERMATA UMS menzahirkan penghargaan kepada pimpinan kerajaan negeri atas kesudian meluangkan masa serta menyatakan sokongan penuh terhadap usaha dalam memperkasa pendidikan rakyat Terengganu.


Tag: